From Zero To Be Hero….




                                

Ziyad masuk ke biliknya dan terus mencapai Al-Quran. Setelah beberapa ayat dibacanya, fikirannya melayang teringat komen gambar walimah sahabatnya semalam yang baru di’tag’ dalam facebooknya masih tidak berbalas. 

Dengan pantas, dia menutup al-Quran dan segera membuka komputer ribanya. Sambil menunggu laman web kegemarannya itu ‘loading’, Ziyad tersedar, ‘Apa yang telah berlaku pada diriku sejak akhir-akhir ini?  Kenapa aku tak rasa kemanisan dalam membaca al-Quran lagi? Aku rasa lebih enak melakukan perkara sia-sia daripada ibadah?”
…………………………………..
Senario yang berlaku pada Ziyad (hanya sekadar nama contoh) mungkin turut berlaku kepada kita. Mengapa sukar untuk mengecapi rasa kemanisan dalam membaca Al-Quran sedangkan ia adalah pengubat jiwa?

“Jika hati kita bersih, kita tidak akan pernah kenyang daripada Al-Quran”. (Saidina Uthman bin Affan)

Lebih malang lagi, semua strategi pengubat hati yang dilakukan dirasakan sesuatu yang menjemukan.  Lidah terasa gersang dan berat untuk berzikir, badan rasa liat untuk bangkit bertahajjud merintih kehambaan kepadaNYA dan makin culas untuk menggabungkan diri dengan orang-orang soleh.

            Banyak melakukan perkara mubah (harus) dan terjebak dengan maksiat adalah antara penyebab seseorang itu futur (iman melemah setelah bangkit). Seseorang itu menjadi tertekan, malas dalam beribadah, bermasalah dalam hubungan ukhuwah dan jiwa menjadi kosong lantaran hati menjauh dari Allah swt.

           Apakah perkara mubah?Mubah adalah perkara yang bukan dilarang oleh Allah dan diberi pilihan untuk melakukannya atau tidak, seperti makan, minum, tidur, bersembang, bergaul, berhibur dan lain-lain. Ramai yang tidak menyedari, bahawa melakukan perkara harus secara berlebihan dapat membawa kepada hati sakit (qalbul maridh) iaitu tunjang utama futur.

Qalbul maridh

Jika kita jatuh sakit, contohnya demam, pasti selera kita hilang, walaupun makanan yang terhidang adalah makanan kegemaran kita.  Bayangkan, dengan lidah yang pahit dan hidung yang tidak dapat mengenal bau kita telah, deria rasa kita semua telah ‘hilang’.
Hal ini sama juga berlaku pada hati kita. Hati yang sakit menolak segala ‘hidangan’ rohani yang lazat seperti solat, membaca Al-Quran dan tahajjud. Jika kita tidak merasai kemanisan tahajjud dan membaca Al-Quran, bukan ibadah ini yang pahit, tetapi hati kita yang sakit!

Hati kita amat perlukan nutrisi seimbang sebagaimana badan kita perlukan. Dalam piramid makanan, kita disarankan untuk mengambil makanan yang seimbang nutrisinya mengikut kadar yang tertentu, perlu banyakkan makan sayur-sayuran dan perlu kurangkan makanan yang berlemak. Bayangkan jika kita tidak mahu mengikut aturan pemakanan seimbang, pasti tubuh badan kita akan jatuh sakit.  
Masakan tidak, orang yang makan gula berlebihan, mereka mempunyai risiko yang tinggi untuk menghidap diabetes mellitus. Orang yang gemar makanan masin, berlemak dan berkolestrol yang berlebihan berpotensi tinggi untuk menghidap hypertensi dan strok.Begitulah dengan hati kita, jika kita banyak memberi ‘makanan’ perkara yang harus dan haram, ia berpotensi untuk dihiidapi penyakit yang kronik. Akibatnya, hati kita mengambil masa yang lama dan perlu ubat berdos yang tinggi untuk sembuh.

Yalla syabab, bangkitlah dari ‘zero’mu!

Seorang syabab yang beriman tidak akan biarkan diri mereka lama berada dalam gejala ini. Mereka akan mencari jalan untuk bangkit semula dan merawat hatinya. Jika biarkan penyakit ini berlarutan, maka terjejaslah kualiti umat Islam dengan adanya syabab yang lemah hatinya dan longlai langkahnya dalam membangunkan Islam tercinta.
Kita adalah penentu untuk diri kita. Kita diberi pilihan oleh Allah untuk memilih sama ada untuk menjadi hambaNYA yang ingin menyucikan jiwa atau sebaliknya.

“Dia mengilhamkan kepada manusia jalan kejahatan atau jalan ketaqwaan. Beruntunglah orang yang menyucikannya dan rugilah bagi orang yang mengotorinya.” (Surah As-Syams: 8-10)

Oleh itu, ubahlah diri kita.

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka ” (Surah Ar-Ra’d: 11)

Apakah ciri-ciri syabab hero?

Menurut Syaikhut Tarbiyah, K.H. Rahmat Abdullah:
Jadilah kalian:
i)                    Yang paling kukuh pendiriannya
ii)                   Paling lapang dada
iii)                 Paling mendalam pemikirannya
iv)                 Paling luas cara fikirnya
v)                  Paling rajin amal-amalnya
vi)                 Paling sistematik dalam pengurusan
vii)               Paling banyak manfaatnya

Ya, antara ciri-ciri  hero adalah orang banyak manfaat kepada orang lain, terutamanya kepada Islam.

Belajar dari hero

Kita selusuri kembali sumbangan Usamah bin Zaid diangkat oleh Rasulullah s.a.w menjadi panglima perang pada usianya 18 tahun. Muhammad Al-Fateh dapat menggegarkan dunia kaafirun dengan strategi yang luar biasanya,  melayarkan kapal di atas darat. Akhirnya beliau dan tenteranya berjaya menakluk Kota Konstantinople walhal usianya ketika itu baru 21 tahun. Pada usia 22 tahun, Hassan Al-Banna berjaya memerah idea yang luar biasa hebatnya dengan mengembalikan strategi menyebarluaskan Islam melalui sistem usrah (tarbiyyah).
Mereka menyumbangkan seluruh harta, jiwa, tenaga dan masa mereka kepada Islam pada usia belia. Mereka jua adalah manusia, mereka jua pernah melalui tahap zero, tetapi mereka berjaya bangkit sehingga mendapat status hero Islam. Subhanallah…



Janji Allah kepada heroNya?

“Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dgn memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh, (sebagai) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang agung." (At-Taubah:  111)

Sesungguhnya janji Allah itu benar.
Wahai syabab, bangkitlah dengan kekuatan yang telah dianugerahi Allah kepadamu. Ingatlah, masa muda di dunia ini cuma hanya sekali. Jangan biarkan rasa futur itu membelenggu diri sehingga rasa tidak gagah lagi untuk mara ke hadapan.

“Tidak akan berganjak kaki anak Adam pada hari kiamat sehingga dia disoal empat perkara, iaitu; tentang usianya, pada apa dihabiskannya, tentang masa mudanya untuk apa telah dipergunakannya, tentang hartanya dari mana diperoleh dan ke mana telah dibelanjakannya dan tentang ilmunya apa yang telah diamalkannya.” (Riwayat At-Tirmizi).

Bangkitlah untuk menjadi hero!

Glosari:Syabab              = PemudaQalbu Maridh    = Hati berpenyakitYalla                  = AyuhlahWalimah             = Kenduri

Rujukan:
1   Solikhin Abu Izzudin. 2006. Zero to Hero, 2006. Pro-U Media, Yogyakarta.



disediakan oleh,

Halimaton Solehah binti Mohamed
Biro Aktivisme ,
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA),
Cawangan Kuala Terengganu.