Segala tulisan dan cerita dalam artikel ini adalah untuk peringatan buat semua terutamanya buat diri penulis sendiri. Salah dan silap harap dimaafkan. Moga bermanfaat. Salam muhasabah.
BUKA MATA BUKA HATI, MOGA RAMADHAN DIBERKATI
Satu mesej masuk dalam inbox dan dibaca, “Salam.kak long, mak masuk hospital. Jangkitan kuman kat mata”. Fathiah segera menelefon ahli keluarganya dan menanyakan keadaan maknya yang masuk wad. Sememangnya ketika itu cuti semester bagi pelajar IPT. Namun, Fathiah terpaksa mengorbankan cutinya untuk masuk ke makmal bagi menyiapkan projek tahun akhirnya. Walau bagaimanapun, Fathiah akhirnya mengambil keputusan untuk pulang ke rumah dan menjaga emaknya di hospital. Dia terpaksa mengorbankan projek tahun akhirnya. “Tak mengapalah, aku tangguh rancangan aku masuk ke makmal cuti ini untuk mak. Pasti Allah bantu aku,” Fathiah memujuk hatinya.
Di hospital…
Sesampainya di hospital, Fathiah pun bersalaman dengan ibunya. “Ni akak ke?”, tanya mak pada Fathiah. “Ye la mak, ni akak, tak kenal akak lagi ke? Sampai hati mak,” jawab Fathiah yang cuba bergurau dengan ibunya. “Bukan mak tak kenal, tapi mata mak ni yang tak nampak. Yang nampaknya kabur-kabur dan warna serba putih yang bersalam dengan mak. Mak ingat misi tadi. Muka akak, mak tak nampak pun,” jawab ibu Fathiah. Melihat keadaan ibunya, secara tiba-tiba air mata Fathiah mengalir di pipinya. Dia perlu kuat untuk menjaga ibunya sepanjang di hospital.
Hampir seminggu Fathiah menjaga ibunya di wad mata. Pengalaman berada di situ cukup menginsafkan Fathiah. Pelbagai keadaan orang sakit dapat diperhatikannya. Ada seorang wanita tua yang ditarik nikmat melihat sebelah mata selama-lamanya dan hanya bergantung pada sebelah mata sahaja manakala sebelah lagi mata itu pula dijangkiti glaucoma. Keadaan itu tidak menghalangnya untuk terus mengalunkan ayat-ayat suci Al- Quran.
Buta
Mata ibu Fathiah di sebelah kiri berselaput dan masih belum dibedah. Mata di sebelah kanan pula pernah dibedah suatu masa dahulu. Kini ia diganti dengan kanta buatan, tetapi mata tersebut dijangkiti kuman. Kedua-dua belah matanya tidak lagi dapat melihatseperti dulu. Nikmat penglihatannya ditarik Allah buat seketika.
Buta Fizikal VS Buta Mata Hati
Kesungguhan penghuni wad yang tetap melakukan solat dan membaca Al- Quran amat mengagumkan dan wajar dicontohi. Mereka tidak menjadikan sakit sebagai alasan untuk meninggalkan suruhan Allah.Realiti masyarakat masa kini, walaupun sempurna dari segi fizikal dan ilmu tetapi, masih ada yang tidak dapat menilai antara kaca dan permata. Sesuatu yang benar tidak dapat dilihat sebagai kebenaran dan tidak sesuatu yang batil tidak dilihat sebagai kebatilan. Malah, ada yang sewenang-wenangnya mencampur-adukkan kebatilan dan kebenaran mengikut telunjuk hawa nafsu.
“Dan janganlah kamu mencampur-adukkan kebenaran dengan kebatilan dan(janganlah) kamu sembunyikan kebenaran, sedangkan kamu mengetahuinya”
(Al-Baqarah: 42)
Realiti masyarakat hari ini takut dan malu untuk menegakkan kebenaran dan melakukan kebaikan. Menegakkan kebenaran itu sudah dilihat sebagai perkara yang aneh dan ganjil. Kebanyakan masyarakat Islam sendiri pada hari ini melihat Islam itu hanya sekadar pada solat, mengaji Al-Quran, nikah, urusan jenazah. Islam tidak diamalkan secara keseluruhan dalam hidup. Kononnya, Islam penuh larangan dan konservatif dan ketinggalan zaman.
Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud:
"Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu, orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang menghadapi piring dan mengajak orang lain makan bersama." Maka para sahabat r.a. pun bertanya, "Apakah ketika itu umat Islam telah lemah dan musuh sangat kuat?" Sabda Baginda SAW: "Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka adalah ibarat buih di laut." Sahabat bertanya lagi, "Mengapa seramai itu tetapi seperti buih di laut?" Jawab Rasulullah SAW, "Kerana ada dua penyakit, iaitu mereka ditimpa penyakit al-Wahn." Sahabat bertanya lagi, "Apakah itu al-Wahn?" Rasulullah SAW bersabda: "Cintakan dunia dan takut akan kematian."
Inilah yang berlaku apabila manusia melihat kehidupan melalui kaca mata nafsu. Kita celik dari segi fizikalnya tetapi pada hakikatnya, kita rabun dan yang lebih parah lagi ada antara kita yang telah pun buta, buta dari segi mata hati. Kita merasakan kita hanya perlu ambil yang kita suka dan apa yang kita benci tidak perlu dilakukan. Anggapan ini sememangnya salah. Allah s.w.t telah berfirman di dalam kitab-Nya yang agung,
Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. (Al-Baqarah:216)
.
Kanta lekap dan kaca mata ciptaan musuh Islam
Sebenarnya kita tidak buta tetapi kita telah dipakaikan oleh kanta lekap dan kaca mata yang telah diubahsuai oleh musuh-musuh Allah. Dalam keadaan yang tidak sedar dan leka kita telah tersilap menilai. Kaca mata yang telah dicorakkan oleh musuh-musuh Allah itu telah berjaya menjadikan kita khayal dan lupa akan tujuan sebenar kita hidup di dunia ini. Kaca mata yang pada luarannya memang nampak indah tetapi sebenarnya ialah barah yang menyebabkan masyarakat kita sakit.
Keadaan ini merupakan analogi kepada kisah Fathiah. Kebanyakan golongan muda yang rosak matanya di wad mata adalah disebabkan memakai kanta lekap yang berwarna-warni dan cantik. Memang diakui kanta mata yang dipakai itu cantik, berwarna-warni dan murah, namun secara perlahan-lahan, kanta lekap itu yang tidak berkualiti itu telah merosakkan mata si pemakainya. Lantas menjadikan si pemakainya sakit mata dan yang lebih teruk lagi menyebabkan buta penglihatan. Itulah yang terjadi pada masyarakat Islam hari ini.
Masyarakat Islam hari ini tidak sedar yang mereka telah mengikut perancangan dan agenda musuh-musuh Islam. Mereka masih lena dibuai mimpi yang indah ciptaan sendiri dan juga ciptaan musuh-musuh mereka .Diharapkan kita sama-sama dapat menanggalkan kaca mata yang penuh dengan penipuan dan khayalan itu. Gunakan kembali kaca mata yang sebenar. Kaca mata yang tidak lari dari Al- Quran dan As-Sunnah. Insyaallah kita tidak lari jauh dari landasan hidup yang sebenar. Hidup di dunia ini hanyalah sementara sahaja dan moga kita dapat mempersiapkan bekalan untuk perjalanan di akhirat kelak. Masih ada waktu untuk berubah walaupun telah tersasar jauh dari landasan sebenar. Kita masih boleh rawat mata yang rosak itu jika bersungguh-sungguh berikhtiar mencari jalan penyelesaian dan dengan izin dari Allah.
Ramadhan Kareem |
Ramadhan dihayati dan disyukuri
Alhamdulillah, kita bertemu semula dengan Ramadhan, bulan yang dirindui dan dinanti-nanti. Moga kita menyambutnya dengan penuh penghayatan dan semangat untuk melakukan yang terbaik. Kepada yang sedang berusaha untuk melakukan perubahan dan perbaikan diri, teruskanlah dan sentiasa berusaha dan bermujahadah untuk berlumba-lumba menjadi hamba Allah yang terbaik. Moga Ramadhan kali ini menjadi titik permulaan dan teruskan di bulan-bulan akan datang.
Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat menyambut bulan ramadhan dan selamat berpuasa kepada sahabat-sahabat. Moga Ramadhan kali ini lebih baik dari tahun-tahun yang lepas. Kepada sahabat-sahabat yang masih berada di IPT kerana menunaikan amanah sebagai pelajar, semoga tabah dan sabar dalam menghadapi ujian dari Allah dan moga segala ujian yang datang darinya menjadikan kita hamba yang sentiasa dekat dan bersyukur kepadaNya.
Tidak dilupakan juga kepada sahabat yang telah pun menamatkan pengajian sama ada yang sedang berpraktikal juga yang sedang menantikan tawaran bekerja atau tawaran sambung belajar, gunakanlah masa yang ada sebaiknya selagi hayat masih dikandung badan. Jadilah pemuda-pemuda yang bermanfaat pada masyarakat sekeliling. Kepada yang berpeluang berpuasa sebulan bersama keluarga, moga peluang yang diberi oleh Allah dapat kita “grab” dan gunakan sepenuhnya untuk berbakti kepada kedua ibu bapa selagi mereka masih ada. Semoga setiap apa yang kita lakukan mendapat keredaan Allah. Salam mujahadah.
Disediakan oleh:
Nuratikah binti Jamaludin,
Biro Sukan dan Rekreasi, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA),
Cawangan Kuala Terengganu
0 comments:
Post a Comment