بسم الله الرحمن الرحيم
Sila hayati bacaan ayat-ayat suci al-Quran ini sebelum membaca artikel ini.
Ayat-ayat suci al-Quran yang dibaca dengan suara yang baik (lunak lagi merdu) akan menambahkan lagi keindahan al-Quran tersebut. '
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Hiasilah al-Quran itu dengan suara-suara kamu, sesungguhnya suara yang bagus menambahkan lagi kebagusan al-Quran” (Riwayat al-Hakim)
Al-Quran merupakan kalam Allah berupa mukjizat yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w dalam Bahasa Arab dan ditulis dalam beberapa mushaf bermula dengan surah al-Fatihah dan berakhir dengan surah al-Nas dan diriwayatkan secara mutawatir serta membacanya merupakan satu ibadah.
NUZUL QURAN
Peristiwa memperingati Nuzul Quran berlangsung saban tahun setiap kali bulan Ramadhan. Ini mengingatkan kita semula sejarah penurunan al-Quran itu sendiri. Para Ulama’ berselisih pendapat mengenai peringkat penurunan al-Quran. Antaranya adalah Syeikh Mustafa Murad, beliau mengatakan bahawa al-Quran itu diturunkan dalam tiga peringkat, iaitu
1. Penurunan pertama dari sisi Allah ‘Azza Wajalla ke Luh Mahfuzh.
Firman Allah Ta’ala dalam surah al-Buruj : ayat 21-22,
بَلْ هُوَ قُرْآنٌ مَجِيدٌ (٢١)فِي لَوْحٍ مَحْفُوظٍ (٢٢)
“Bahkan yang didustakan mereka itu ialah al-Quran yang mulia, yang (tersimpan) dalam Lauh Mahfuzh.”
2. Penurunan kedua secara serentak dari Luh Mahfuzh ke Bait al-‘Izzah di langit dunia.
Firman Allah Ta’ala dalam surah al-Baqarah : ayat 185
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ
(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil).
3. Penurunan ketiga secara beransur-ansur dari Bait al-‘Izzah ke dada Rasulullah s.a.w dalam tempoh 23 tahun.
Firman Allah Ta’ala dalam surah al-Furqan : ayat 32
وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لَوْلا نُزِّلَ عَلَيْهِ الْقُرْآنُ جُمْلَةً وَاحِدَةً كَذَلِكَ لِنُثَبِّتَ بِهِ فُؤَادَكَ وَرَتَّلْنَاهُ تَرْتِيلا (٣٢)
“Dan berkatalah orang-orang yang kafir: Mengapa Al Quran itu tidak diturunkan kepadanya (Muhammad) secara serentak?; Yang demikian itu (beransur-ansur) supaya Kami perkuat hatimu dengannya dan Kami membacanya secara tartil (teratur dan benar).”
NAMA-NAMA AL-QURAN
Al-Quran adalah kitab suci lagi mulia dan mempunyai beberapa nama yang masyhur antaranya seperti:
(i) Al-Quran (bacaan) kerana ia suatu kitab yang sering dibaca. Firman Allah Ta’ala dalam surah al-A’raf : ayat 204
وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنْصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ (٢٠٤)
“Dan apabila dibacakan al-Quran, Maka dengarkanlah baik-baik, dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat.”
(ii) Al-Furqan (pembeza) kerana ia membezakan antara yang hak (benar) dengan batil (salah). Firman Allah Ta’ala dalam surah al-Furqan : ayat 1
تَبَارَكَ الَّذِي نَزَّلَ الْفُرْقَانَ عَلَى عَبْدِهِ لِيَكُونَ لِلْعَالَمِينَ نَذِيرًا (١)
“Maha suci Allah yang telah menurunkan al-Furqaan (al-Quran) kepada hamba-Nya, agar Dia menjadi pemberi peringatan kepada seluruh alam.”
(iii) Al-Kitab (buku) kerana ia dibukukan dalam satu mushaf. Firman Allah Ta’ala dalam surah al-Baqarah : ayat 2
ذَلِكَ الْكِتَابُ لا رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ (٢)
“Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa.”
(iv) Al-Dzikr (peringatan) kerana ia menjadi peringatan bagi orang-orang yang beriman. Firman Allah Ta’ala dalam surah al-Hijr : ayat 9
إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ (٩)
“Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan al-Dzikr (al-Quran), dan Sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.”
(v) Al-Wahy (wahyu) kerana ia adalah wahyu yang diturunkan oleh Allah Ta’ala. Firman Allah Ta’ala dalam surah al-Anbia’ : ayat 45
قُلْ إِنَّمَا أُنْذِرُكُمْ بِالْوَحْيِ وَلا يَسْمَعُ الصُّمُّ الدُّعَاءَ إِذَا مَا يُنْذَرُونَ (٤٥)
“Katakanlah (hai Muhammad): Sesungguhnya aku hanya memberi peringatan kepada kamu sekalian dengan al-Wahy (al-Quran) dan Tiadalah orang-orang yang tuli mendengar seruan, apabila mereka diberi peringatan."
HAK-HAK AL-QURAN
Murabbi saya iaitu Ustaz Rusdi Alias sering mengingatkan berkenaan hak-hak al-Quran yang perlu dipelihara iaitu seperti berikut:
1. Wajib dibaca dengan betul (tajwid). Firman Allah Ta’ala dalam surah al-Muzzammil : ayat 4
وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلا (٤)
“Dan bacalah olehmu akan Al Quran itu dengan secara tartil.”
Dan sabda Rasulullah s.a.w:
“Sesungguhnya Allah Ta’ala menyukai akan hambaNya yang membaca al-Quran bertepatan sebagaimana ia diturunkan.”(Riwayat Ibnu Khuzaimah)
2. Mentadabbur dan memahami (belajar & usaha) untuk mempelajari bahasa arab dan melihat penafsiran ulama’ yang muktabar.
3. Melaksanakan apa yang difahami dan menghayati apa yang dibaca.
4. Menghafaz ayat-ayatnya.
Sepertimana yang dinyatakan di atas, salah satu hak al-Quran yang perlu kita penuhi adalah dengan mentadabbur dan memahami isi al-Quran untuk dijadikan pedoman di dalam kehidupan. Namun malangnya, sebahagian daripada masyarakat Islam sendiri khususnya orang Melayu cuma berminat untuk ‘beramal’ dengan ayat-ayat tertentu tanpa berusaha memahami isi kandungannya.
Seperti Firman Allah Ta’ala dalam surah al-Hasyr : ayat 21
لَوْ أَنْزَلْنَا هَذَا الْقُرْآنَ عَلَى جَبَلٍ لَرَأَيْتَهُ خَاشِعًا مُتَصَدِّعًا مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ وَتِلْكَ الأمْثَالُ نَضْرِبُهَا لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ (٢١)
“Kalau sekiranya Kami turunkan al-Quran ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan ketakutannya kepada Allah. dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir.”
Ada sesetengah masyarakat yang mengamalkan surah ini dengan tujuan ‘perubatan’ iaitu untuk memecahkan bisul. Kemungkinan yang boleh saya andaikan adalah, kepercayaan ini bersandarkan tafsiran kasar tentang gunung yang terpecah belah dan dinisbahkan kepada bisul. Kononnya, ia juga bakal pecah apabila dibaca ayat tersebut.
Jika diteliti tafsiran ayat tersebut secara mendalam. Sesungguhnya Allah ingin menyatakan bahawa al-Quran itu pada hakikatnya adalah suatu beban.Kuasa dan kesan menggegarkan yang tiada sesuatu pun yang boleh tetap bertahan menerimanya secara hakikat. Ketika batang tubuh manusia ini terbuka menerima sesuatu daripada hakikat al-Quran, pada ketika itu ia menggigil dan menggeletar.
Tanpa menafikan kelebihan surah-surah tertentu seperti yang disebut secara khusus sebahagiannya oleh Rasulullah s.a.w, kita seharusnya tidak sekadar beriman dengan mukjizat ayat-ayat tertentu sahaja tetapi sebaliknya juga wajib memahami dan menghayati isi kandungan sebenarnya supaya dapat diamalkan di dalam kehidupan seharian.
AL-QURAN DAN KELEBIHANNYA
Al-Quran merupakan kemegahan Umat Islam. Ini seperti yang disabdakan Nabi s.a.w:“Sesungguhnya bagi setiap sesuatu ada kemegahan yang mana manusia berbangga dengannya. Dan yang menjadi kemegahan dan kebanggaan umatku iaitu al-Quran.” (Riwayat Abu Na’im)
Jadi sesuai dengan kebanggaan tersebut, kita seharusnya membuktikannya dengan menunaikan hak-haknya. Sehinggakan mukjizat al-Quran yang mulia ini jelas terpancar pada wajah, percakapan, perbuatan, penghujahan, pemikiran dan lain-lain lagi dalam kehidupan kita yang sementara ini. Biarkan al-Quran menjadi peneman kita di dunia dan menjadi pemberi syafaat kelak di akhirat.
Sabda Nabi s.a.w“Al-quran adalah pemberi syafaat (yang mana) syafaatnya akan diterima dan sebagai penghujah (yang mana) hujahnya disokong. Barangsiapa meletakkan al-Quran di hadapannya maka al-Quran akan memandunya ke syurga dan barangsiapa yang meletakkan al-Quran di belakangnya maka al-Quran akan mencampakkannya ke neraka.” (Riwayat Ibnu Hibban)
CINTA AL-QURAN
Benarkah kita cinta kepada al-Quran? Mari kita uji sebentar adakah kita benar-benar mencintai al-Quran dengan menjawab persoalan di bawah ini.
- Sepanjang anda membaca artikel ini daripada mula hingga ke perenggan ini, adakah anda membaca keseluruhan teksnya termasuk ayat-ayat al-Quran dan bukan hanya membaca maksud dan skip ayatnya?
- Sepanjang anda membaca mana-mana artikel lain ataupun buku-buku yang mengandungi ayat-ayat suci al-Quran, adakah anda membaca keseluruhan teksnya termasuk ayat-ayat al-Quran dan bukan hanya membaca maksud dan skip ayatnya?
- Di dalam presentation silibus usrah atau ucapan anda, adakah anda membaca keseluruhan teksnya termasuk ayat-ayat al-Quran dan bukan hanya membaca maksud dan skip ayatnya?
Jika semua jawapan anda adalah ya, alhamdulillah anda sekurang-kurangnya telah membuktikan bahawa anda bersungguh-sungguh mencintai al-Quran melalui perbuatan anda tersebut. Jika jawapan anda tidak, sama-samalah kita menginsafi adakah benar kita mencintai al-Quran, kerana al-Quran diturunkan untuk dibaca dan diambil pengajaran.
Membaca ayatnya sahaja kita akan diganjarkan pahala sepertimana sabda baginda s.a.w:
“Barangsiapa membaca satu huruf daripada kitab Allah maka baginya satu kebaikan. Dan satu kebaikan (digandakan) dengan sepuluh seumpamanya. Tidak aku katakan (Alif Lam Mim) itu satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (Riwayat Tirmidzi)
Jadi sempena Nuzul Quran tahun ini, marilah sama-sama kita memperbaiki mutu bacaan al-Quran kita dan seterusnya berusaha menghayati dan mengamalkannya sepanjang kehidupan.
“ Orang yang mahir al-Quran akan bersama malaikat yang mulia lagi berbakti. Dan orang yang membacanya dalam keadaan sulit (susah) dan merangkak-rangkak maka baginya dua pahala (kebajikan).” (Riwayat Muslim)
Wallahua’lam.
Kamarul Azizan bin Abd Raman
Pengerusi PEMBINA Kuala Terengganu
Rujukan:
Buku Tajwid Al-Quran : Qiraat ‘Aashim – Riwayat Hafsh Toriq al-Syatibi susunan Abu Mardhiyah Tafsir manhaji Al-Quran
Catatan peribadi pengisian Ustaz Rusdi Alias
0 comments:
Post a Comment