Perutusan Aidilfitri 1433 Hijrah



Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)
الله أكبر.. الله أكبر.. الله أكبر.. ولله الحمد.
Allah Maha Besar. Segala puji-pujian, hanya untukNya.
Maha Besar Allah SWT, disebut-sebut tasbih menyucikan keesaan dan keagungannya sekian pagi dan petang. Hanya Allah Tuhan yang layak disembah, kita menyembahNya yang Maha Agung dengan penuh keikhlasan kerana hanya bagi Allah sahaja agama ini, walau orang-orang kafir amat membenci hakikat ini. Hanya Allah satu-satunya Tuhan. Dia membenarkan segala janji-janjiNya. Memenangkan hamba-hambaNya yang berjuang di jalan-Nya. Dia mengangkat kemuliaan tentera-tenteraNya, dan menghancurkan pakatan-pakatan yang ingin menghancurkan agamaNya dengan kekuasaanNya sendirian.

Ramadhan yang hebat, agung dan penuh keberkatan pergi meninggalkan kita, sekali lagi. Ramadhan 1433H pergi dan tidak akan kembali lagi buat selama-lamanya, membawa untung, rugi bahkan kemuflisan anak-anak Adam sepanjang 29 hari dan 29 malam sepanjang bulan Ramadhan. Beruntung mereka yang berjaya memperolehi keampunan Allah dari segala dosa-dosa yang telah lalu, dan yang mendapat pelepasan dari azab api neraka yang pedih. Sedangkan bagi orang-orang yang muflis dan kerugian, tidak ada nilai dan makna buat mereka pakaian dan perabot baru, wang ringgit, bahkan senyuman-senyuman kegembiraan yang palsu di pagi lebaran kali ini.

Pengajaran Ramadhan
Sudah tentu banyak perkara yang berlaku sepanjang bulan Ramadhan kali ini, yang seharusnya dapat mengetuk sanubari kita, untuk kita ambil pengajaran dan bekalan dalam melalui kehidupan di hari-hari mendatang. Agak janggal di kalangan masyarakat kita menceritakan peristiwa-peristiwa yang berlaku di dalam bulan Ramadhan yang berjaya memberikan impak perubahan kepada jatidiri, tingkahlaku dan komitmen kepada ajaran Islam, berbanding kisah-kisah mereka-mereka yang mendapat ‘mesej’ dari Allah ketika melaksanakan ibadah Haji dan Umrah di tanah suci Makkah.
Apa yang paling utama bagi generasi belia muda remaja hari ini, peluang beribadah dalam keadaan kuat tubuh badan, sihat bertenaga, cergas dan cerdas, tidak akan berulang lagi di masa-masa akan datang. Di saat komitmen hanya ke atas diri sendiri dan tanpa tanggungan, bilakah masanya lagi yang paling ideal untuk kita mencurahkan kudrat ini untuk memperhambakan diri kepada Allah dengan penuh kualiti dan penghayatan.
Ramadhan pergi meninggalkan segala bentuk kebaikan, bak mutiara permata yang amat berharga bagi sesiapa yang menunggu-nunggu kedatangannya dahulu mahupun mereka yang tidak pernah mahu pun berjumpa Ramadhan. Bagi yang benar-benar berjaya memenangi jiwa dan nafsunya untuk menundukkan diri kepada Allah dan mengutip ganjaran pahala di sepanjang Ramadhan, sudah tentu ganjaran yang diterima sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah iaitu dia mendapat ‘graduasi’ dari institusi Ramadhan dengan keputusan ‘Deen’s List’ – diampunkan dosa-dosanya bak seorang bayi yang baru dilahirkan. Sedangkan bagi mereka-mereka yang melalui Ramadhan dalam keadaan terpaksa dan acuh tidak acuh, mereka mendapat kebaikan Ramadhan melalui persekitaran soleh yang dibawa Ramadhan. Kurang manusia mengumpat, mengeji, bercakap kotor, khianat, memfitnah, bertelagah, mencuri, mencabul hak orang lain dan pelbagai lagi perbuatan buruk yang biasa dilakukan manusia di luar bulan Ramadhan. Di dalam media-media utama, dikawal bahan-bahan tayangan yang menambahkan dosa dan digantikan dengan bahan-bahan tayangan mendidik jiwa.
Sungguh, kedatangan Ramadhan adalah satu pemberian yang amat bernilai bukan sahaja untuk umat Islam, bahkan untuk kesejahteraan sekian makhluq dan seluruh alam.

Lebaran dan Belia
Di pagi Syawal, umat Islam dituntut untuk memakai pakaian terbaik, berwangi-wangian, berwajah ceria, dan menunaikan solat sunat hari raya secara berjema’ah. Umat Islam disunatkan bertakbir dengan perasaan yang penuh bersemangat dan gembira kerana telah berjaya melalui ujian di dalam bulan Ramadhan.
Jika di dalam bulan-bulan lain, umat Islam berhadapan dengan cabaran pakatan iblis, syaitan jin dan manusia serta hawa nafsunya sendiri. Tetapi, di dalam bulan Ramadhan, mereka hanya berhadapan dengan hasutan hawa nafsu sendiri dan hawa nafsu orang lain. Tidak ada senjata yang paling ampuh dan kuat untuk melawan cabaran ini melainkan kekuatan iman kepada Allah serta mengharapkan ganjaran dan takutkan azab yang ada di sisiNya. Boleh jadi, di sinilah terletaknya hikmah yang dapat diambil dari lafaz takbir di pagi Syawal yang telah diajarkan oleh Baginda SAW yang bermaksud, “Allah menepati janjiNya, dan memenangkan hamba-hambaNya, memuliakan tentera-tenteraNya dan menghancurkan pakatan-pakatan jahat dengan kekuasanNya sendirian”.
Jika kita mengaitkan kemenangan melalui ujian Ramadhan yang diraikan di pagi Syawal ini, menuntut kita kembali merefleks diri kita sebagai generasi muda yang pada hari ini berhadapan dengan pelbagai ujian, cubaan dan ancaman. Memang benar belia kita pada hari ini tidak terancam nyawa, maruah dan harta benda mereka. Akan tetapi, pada hari ini, belia-belia Islam di Malaysia berhadapan dengan ancaman berbentuk serangan idealogi dan jatidiri, yang saban hari menyerang bertubi-tubi dengan tujuan meranapkan jatidiri Muslim di dalam diri mereka.
Musuh-musuh Islam pada hari ini mempunyai semua sebab dan alasan untuk memastikan jatidiri generasi muda Islam runtuh dan ranap. Tidak kira tujuan-tujuan itu dalam bentuk keuntungan ekonomi, politik bahkan aqidah kepercayaan mereka yang sesat. Pada hari ini, kepercayaan mereka tidak lagi hadir dalam bentuk satu agama yang mempunyai ritual dan kepercayaan lama sama ada dalam bentuk Kristian, Buddha, Hindu dan sebagainya. Cukup untuk mereka hadir membawa satu bentuk pemikiran baru, dengan nama baru yang mesra orang muda, ajaran baru yang mudah untuk orang muda, serta cara hidup baru yang bebas, liberal dan tidak boleh dipersoalkan baik buruk selagi ia dilakukan atas nama kebebasan hak asasi manusia.

Syawal & Erti Kemerdekaan
Syawal dan erti kemerdekaan begitu signifikan dan saling berkaitan antara satu sama lain. Apatah lagi, Syawal tahun ini agak istimewa kerana rakyat Malaysia meraikan Sambutan Ulangtahun Kemerdekaan ke-55 di dalam bulan Syawal. Menyoroti sirah perjuangan Rasulullah SAW, banyak peristiwa di dalam bulan Ramadhan dan Syawal yang menunjukkan kesungguhan perjuangan Islam ketika itu untuk memerdekakan dan membebaskan manusia dari kegelapan kejahilan, kerosakan jatidiri dan kerancuan neraca hidup.
Contoh yang paling besar adalah, peristiwa Badar Al-Kubro yang berlaku di dalam bulan Ramadhan, Syawalnya disambut penuh rasa kemenangan. Begitu juga peristiwa peperangan Uhud yang berlaku pada bulan Ramadhan setahun selepas itu.  Bahkan, peperangan Al-Ahzab berlaku di dalam bulan Syawal dan persediaan Baginda serta tenteranya menggali parit ‘Khandaq’ berlaku di sepanjang Ramadhan.
Oleh yang demikian, Syawal yang tiba kali ini, menuntut belia Islam pada hari ini untuk memberikan erti kepada lebaran dengan kemenangan memerdekan diri dan masyarakat dari kepungan ancaman ideologi-ideologi sesat yang sedang mengancam untuk membunuh jatidiri kita pada hari ini. Segala usaha, buah fikiran, ikhtiar dan pengorbanan perlu dicurahkan dalam memperjuangkan kemerdekaan ini.
Di dalam surah Al-Anbiya’, ayat 60, Allah menceritakan di dalam firmanNya tentang perihal seorang belia yang hebat di zamannya.

قَالُوا سَمِعْنَا فَتًى يَذْكُرُهُمْ يُقَالُ لَهُ إِبْرَاهِيمُ
Maksudnya : (Setengah dari) mereka berkata: “Kami ada mendengar seorang anak muda bernama Ibrahim, mencacinya”.
Ayat ini menceritakan kisah Ibrahim A.S ketika usia muda belianya, tentang keberanian dan kebijaksanaannya menentang kerosakan agama, pegangan dan jatidiri masyarakatnya. Ibrahim AS ketika itu dilihat sering mencela ikon dan idol kepada kerosakan tersebut. Bahkan lebih jauh dari itu, bertindak berani menghancurkan berhala yang menjadi sembahan masyarakat yang jahil. Semua tindakan, penilaian dan pertimbangan dibuat dalam keadaan penuh bijaksana dan berstrategi, yang akhirnya dapat memberikan pengajaran kepada mereka, dan menjadi pintu hidayah kepada Allah, serta menjadi titik tolak kemerdekaan sebenar dirasai oleh mereka.
Jadilah seperti para Nabi yang benar terhadap iman dan perjuangan mereka. Kesemua mereka yang dimuliakan Allah ini, memulakan perjuangan hidayah mereka di usia muda belia seperti kita. Semangat, ilmu, motivasi, kesungguhan dan tenaga yang hebat, hanya ada pada generasi muda. Bahkan, mereka punya lebih banyak waktu dan masa untuk merancang dan berkhidmat untuk umat ini.

Salam Lebaran, Salam Aidilfitri
Minal 'Aa Idin wal-Faa Izin

Disediakan oleh,

Ustaz Salman Abdul Rahman
Setiausaha Agung
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)