Akulah Batu-bata Itu






Dinding yang berdiri megah dibina hanya dari batu bata yang kecil


“Eh, kamu dah siapkan bahagian kamu tu belum? Esokkan kena submit. Dah suntuk sangat ni!”  “Tu la, kan saya dah cakap minggu lepas kita buat terus masa discussion hari tu.” “ La, dah lepas kan, tak perlulah sebut semula.”


Waktu semakin suntuk. Fikiran semakin berkecamuk. Hubungan hati semakin remuk. Begitulah realiti di saat-saat akhir setiap semester. Pelbagai tugasan harus dihantar. Beberapa perjumpaaan harus dihadiri. Aktiviti surau yang wajib dipenuhi. Memang benar dan tepat sekali kata-kata as-Syahid Imam Hasan al-Banna; “ Kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang kita ada. Oleh itu gunakanlah masa dengan sebaiknya dan ringkaskanlah perlaksanaannya. ”

Wahai mahasiswa yang dikasihi Allah SWT. Amatlah penting kepada kita untuk bijak dalam menguruskan aktiviti kita sepanjang hari. Allah SWT mengurniakan kita masa sebanyak 24 jam sehari semalam sama sahaja untuk semua insan. Tiada yang kurang apatah lebih. Apa yang perlu diurus adalah aktiviti, bukanlah masa! Jadual belajar yang telah ditampal indah nan molek didinding perlu dijenguk semula pada waktu-waktu begini. Masa sedang berlari semakin menjauhi kita wahai sahabat.

Sungguh rugi juga jika dalam ketidak aturan pengurusan masa sekarang ini, kita lebih mementingkan tugasan dan perbincangan kumpulan daripada majlis-majlis ilmu di surau atau di mana sahaja yang dahulu kita sering hadiri. Sedih hati ini tatkala melihatkan ramai sahabat yang dahulunya rajin ke surau a.k.a kaki surau akan tetapi kini menjadi kaki bilik. Lebih selesa duduk di bilik untuk menyelesaikan kerja peribadi daripada bersosial dengan ‘masyarakat universiti’. Ya! Masyarakat universiti. Manusia-manusia yang kita lihat seharian dalam hidup kita. Yang berselisih dengan kita di jalan semasa ke kuliah atau yang kita berbalas senyuman di surau malam tadi. Mereka yang sentiasa menceriakan hidup kita di alam ‘elit’ ini.

Mahasiswa yang dirahmati Allah,
Adakah kita lupa bahawa kita umpama susunan batu-bata pada sebuah binaan? Yang saling dekat dan rapat kedudukannya. Mesra dan tidak pernah menyakiti yang lain. Yang tidak pernah minta diceraikan daripada sahabat di sebelah. Seperti yang semua maklum, batu-bata merupakan unsur terpenting dalam menguatkan struktur binaan.  Jika batu-bata yang digunakan rapuh dan tidak berkualiti, maka pasti musnahlah binaan itu dalam masa yang terdekat. Dan seterusnya robohlah binaan nan tersergam indah.
Ayuh mahasiswa yang menjadi harapan negara sekalian, kita jadikan diri kita salah satu daripada batu-bata tersebut. Saling bersama berukhuwwah kerana Allah demi setia menaungi Islam tercinta. Nasihat-menasihati dan hormat-menghormati menjadi bancuhan simen yang melekatkan antara batu-bata tersebut. Terus kekal dan berjihad agar tidak roboh tiang Islam walau dilanda angin kuat.

 Secara realitinya, jika seorang buruh bangunan ternampak satu lompang daripada susunan batu-bata di bangunan yang dia usahakan itu, dia akan terus mencapai sebiji bata dan disimenkan di lompang tersebut. Tindakan yang terdorong dek risau akan keruntuhan bangunan yang bakal berlaku harus diadaptasi kepada kebimbangan kita pada masa hadapan Islam yang ditakuti akan semakin menjauh daripada umat Islam sendiri.  Mari kita wahai mahasiswa, menjadikan diri kita sebagai batu-bata itu yang menyempurnakan isi-isi keindahan Islam. Dengan kelengkapan kita itu pasti ikatan hubungan sesama kita lebih kukuh dan sukar diruntuhkan musuh-musuh Islam. Biarkan musuh kita terus menikus!



disediakan oleh,

Nur Farhana binti Zali,
Timb Setiausaha
PEMBINA Kuala Terengganu




[blog penulis : sabarmuberbunga.blogspot.com ]