'Ilajul Qulub (Merawat Hati)




Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia ada seketul daging (segumpal darah), jika baik maka baiklah seluruh anggota dan jika rosak maka rosaklah seluruh anggota, itulah hati." Bukhari dan Muslim.

Sesungguhnya kita semua adalah hamba ALLAH yang lemah lagi dhaif yang tidak pernah lepas daripada melakukan kesilapan walau sekecil zarahpun. Namun itu tidaklah bermakna kita boleh melakukan kesilapan acap kali tanpa rasa bersalah juga rasa ingin bertaubat daripada dosa-dosa yang kita lakukan tidak kira kecil mahupun besar. Adapun setiap dosa yang kita lakukan adalah berpunca daripada kegagalan kita menjaga Hati lantas segala perbuatan buruk terlakar melalui perbuatan-perbuatan kita ekoran daripada “penyakit Hati” yang ada pada diri kita.

Setiap penyakit akan ada penawarnya. Begitu juga dengan penyakit hati. Namun penyakit hati adalah penyakit yang paling sukar untuk di ubati. Sekali hati kita telah dikotori dengan anasir-anasir yang tidak baik maka ia akan memberi impak kepada seluruh anggota badan kita. Namun adakah kita sedar yang kita juga punya penyakit hati ini?. Tepuk dada tanya iman.

Dalam kita melangkah menjadi individu muslim yang sejati pernah tidak kita merasakan diri kita lebih baik daripada orang lain? Merasa bangga dengan kebolehan yang ada pada diri kita? Menganggap kita lebih bijak daripada orang lain?kita lebih kaya daripada orang lain?kita lebih cantik/kacak daripada orang lain?.  Anda punya jawapan sendiri!

Terkadang tanpa kita sedari penyakit-penyakit hati ini akan wujud dalam diri kita. Dan itu sememangnya  sangat merbahaya. Walaupun ianya hanya terlintas di dalam hati tanpa perlakuan.
Justeru itu marilah sama-sama kita i’lajul Qulub (merawat  hati) kita yang sedang sakit dan muhasabah siapa kita di atas muka bumi ini. Diantara perkara-perkara yang boleh kita lakukan untuk merawat penyakit hati kita adalah :

1. Mendidik diri cinta kepada Allah kerana telah menciptakan kita.2. Mentadabbur ayat-ayat al-Quran.3. Memperbanyakkan amalan-amalan sunat4. Khusyuk dalam solat.5. Memperbanyak zikir dan memohon ampun kepada Allah SWT.6. Melakukan kebaikan semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah.7. Bersahabat dengan orang-orang soleh dan solehah.8. Mendapatkan sumber makanan yang halal dan bersih di sisi Allah SWT.9.Menjaga penglihatan daripada melihat perkara-perkara mungkar10.Sentiasa mengingati mati.kerana kita semua pasti akan mati.


Semoga dengan usaha kecil kita ini dapat merawat penyakit hati yang ada pada diri kita daripada terus merebak dan parah. Kerana kelak ia akan merugikan diri kita sendiri. Wallahua’alam.





                       
Disediakan oleh,

Nurul Syafiqah Bt Lokman,
Setiausaha Pembina, 
Kuala Terengganu.