Dia, Dhia Eliana

[credit]


Eliana mengetuk-ngetuk meja belajarnya. Matanya semakin berat melihat susunan nombor dan simbol-simbol matematik di dalam buku latihan itu. Gema lagu Fikirlah-Aizat yang dipasang daripada laptopnya memenuhi ruang bilik. Kepalanya sudah pening memikirkan penyelesaian bagi soalan yang dibacanya. Sememangnya Eliana lemah dalam subjek matematik. Topik Algebraic Expression itu terasa berat baginya. Ini baru topik mula, dah pening kepala dibuatnya, macam manalah topik-topik lain yang banyak ni, gerutu hati Eliana. Kalau diikutkan hatinya, mahu sahaja dia merebus buku latihan itu. Buat sup sedap jugak, mana tau senang nak faham bila bau sup math yang sedap,getusnya.



Terdengar bunyi pintu bilik dibuka tatkala Eliana hendak menutup buku latihannya. Nadia masuk dengan wajah berseri-seri memandang Eliana. 


“Yang hang tersengih-sengih ni, awat?”,

Tanya Eliana sambil tangannya ligat menyusun buku-buku latihan dan rujukan yang berselerak di atas mejanya. 



“El, weekend ni free tak? Ada explorace kat blok sebelah, nak join

Tanya Nadia membalas soalan Eliana tadi. Dia menunjukkan flyer yang dipegangnya kepada Eliana. Sekilas, Eliana membaca flyer itu. 



“Bolehlah, kau join jugak kan? Kau ada, aku ok je,” jawabnya.  
Eliana belum punya perancangan untuk hujung minggu itu. Minggu genap adalah minggu outing pelajar lelaki. Jika minggu outing pelajar perempuan, laju sahaja kaki Eliana ke pusat karaoke atau pusat boling. Sejak daripada bangku sekolah lagi dua tempat ini menjadi kegemaran Eliana. Mujur kolej matrikulasi yang dipilihnya berdekatan dengan pusat membeli-belah, bolehlah dia meneruskan hobinya itu.


Sabtu.

            Suasana di blok Ummu Dhabitah sepi. Kebanyakan penghuninya masih diulit mimpi. Hari minggu sebegini selalunya digunakan untuk melepaskan lelah setelah 5 hari berulang-alik ke dewan kuliah. Kelihatan sekumpulan pelajar perempuan berkumpul di court bola tampar bersebelahan blok tersebut. 


“Assalamulaikum semua, selamat datang ke Explorace Iman. Kita mulakan explorace ni dengan al-Fatihah,” 

Sakinah memulakan bicara. Dia adalah moderator explorace yang dikendalikan oleh kumpulannya. La…Islamic explorace rupanya, ingatkan lari-lari jawab soalan bio ke, math ke, menyesal pulak tak baca flyer hari tu betul-betul. Hati Eliana berbisik sambil mulutnya terkumat-kamit membaca surah al-Fatihah. Oleh kerana Nadia, teman biliknya merangkap sahabat baiknya ada bersama, Eliana tidaklah terlalu ralit. Diikutkan sahaja aktiviti itu. Sewaktu explorace, Eliana banyak menjawab soalan-soalan yang diajukan. Baginya, soalan-soalan tersebut sangat mudah. Petik jari je lah, nasib baik fardhu ain aku excellent, bisiknya.


Usai penyampaian hadiah, Sakinah menyampaikan ucapan penutup.


 “Tahniah kepada semua, akhirnya program kita sudah tamat disini. Semoga soalan-soalan yang diajukan dapat kita praktikkan dalam kehidupan kita sebagai hamba Allah, insya-Allah,” ucap Sakinah. 

Senyuman manis tidak pernah lekang dari bibirnya. Klise. Hati Eliana bersuara. 


 “Disini, kami ada satu promosi, 2 minggu lagi, pada hari Sabtu akan diadakan kem di UM. Kem ini bermula hari jumaat petang sehingga 12.00 tengahari, hari Ahad. Sesiapa yang berminat boleh mendaftarkan diri dengan sahabat saya, Auni. Bayaran hanya RM50 termasuk penginapan, makanan dan sijil penyertaan.” 

Sakinah menambah ucapannya, tangannya menunjukkan kearah Auni yang berada di sebelah kanan court bola tampar itu. 


Éh, bukan ke tarikh tu Faris kata dia pergi UM? Entah-entah program yang sama. Daftar je lah, dapat jumpa Faris. 


“Nadia, kau nak daftar tak?” 

Eliana menepuk bahu Nadia disebelahnya. 



”Tak kot, aku ada latihan koir untuk dinner alumni, kau nak pergi kem tu ke?” “Nak, tak apalah, aku boleh pergi sendiri,” jawab Eliana.  
Bagus jugak tak ada Nadia, boleh lepak dengan Faris. Hati Eliana berbunga riang. Lantas, kakinya menuju kearah Auni, laju sahaja tangannya mengeluarkan dompet untuk membayar yuran pendaftaran kem itu. Eliana tersenyum-senyum menulis namanya di atas borang pendaftaran. 


“Is, kita akan jumpa.” Kata-kata itu melayang-layang di fikirannya. 


Hari yang dinanti-nanti Eliana tiba jua. Dari hari Khamis lagi dia sudah mula mengemas pakaiannya untuk dibawa ke kem di UM itu. Sebenarnya hatinya bukan berminat pada kem tersebut tetapi kepada teman istimewanya yang disangkanya akan pergi ke program yang sama. Eliana menapak menaiki bas bersama-sama sekumpulan pelajar perempuan kolej itu yang sama-sama mendaftarkan diri ke program itu termasuklah Sakinah dan Auni. 


“Eh, mana peserta lelaki?” 

Tanya Eliana di dalam hati sewaktu program baru hendak bermula. Suasana di dalam bilik mesyuarat Bidasari itu tenang dengan bacaan al-Quran oleh beberapa pelajar perempuan. 



“Assalamulaikum akhawat yang ana sayang, kita mulakan kem kita dengan al-Fatihah”, 

 Ucap moderator Kem Celik Minda, kak Farah Adiba. 



“Akhawat sekalian, disini, ana mengajak para akhawat untuk kita sama-sama meluruskan niat kita, bahawasanya kita datang ke program ini kerana Allah ta’ala,” sambung kak Farah Adiba. 

Eliana mengikuti sahaja program malam itu. Terasa waktu sangat padat sehingga dia tidak berkesempatan untuk berhubung dengan Faris.




            Slot pertama pada hari kedua adalah pengisian tentang Ghaz ul-Fikr atau perang pemikiran yang disampaikan oleh Dr. Mukhriz. Pakaiannya bersahaja, kemeja T berbelang biru putih bersama sepasang seluar jeans. Huh, mati-mati aku ingatkan dia ni pembantu Dr. Mukhriz, rupanya dia Dr. Mukhriz. Sewaktu diberitahu slot pertama akan disampaikan oleh seorang Dr., Eliana membayangkan yang empunya diri segak berbaju kemeja formal dengan seluar slack hitam. Terkejut juga dia apabila dilihatnya Dr. Mukhriz yang tenang dan bersahaja melangkah ke hadapan bilik mesyuarat itu. Dr. Mukhriz bukanlah seorang doktor perubatan biasa, dia banyak mendalami ilmu agama dan isu semasa. Terasa berhenti jantung Eliana sewaktu Dr. Mukhriz menunjuk ke arahnya untuk membaca terjemahan surah ar-Ra’d ayat 28. Perlahan-lahan dia menyebut, 


“(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” 

Eliana terpana, dia merasakan seperti terkena renjatan elektrik. Mana dia tahu aku tengah ingat kat Faris. Pengisian Dr. Mukhriz ketika itu diikutinya dengan tekun, seolah-olah ada paku yang membuatnya tetap berada di situ. 


            Pintu bilik diketuk dari luar. Eliana menutup lagu Fall For You-Jason Mraz di laptopnya. Kelihatan Sakinah tersenyum ke arahnya sewaktu pintu dibuka. 


“Assalamualaikum El, sihat? Sakinah nak ajak El pergi usrah hari Jumaat ni, selepas Isyak, di surau Sa’diah,” kata Sakinah tanpa berbasa-basi. 

Tangannya dihulur untuk bersalaman dengan Eliana. Eliana menjawab ucapan salam itu lalu tangannya diangkat kearah Sakinah. 



“Hurm, tengoklah dulu ya. El busy,” katanya seolah-olah menolak ajakan itu. Sakinah mengangguk lalu meminta diri untuk beredar. 

Senyumannya masih tidak lekang dari bibirnya. Itulah senyuman yang pernah dilihat Eliana sewaktu explorace dan Kem Celik Minda minggu lalu. Jahatnya aku jawab macam tu. Hati Eliana mula bersuara seakan-akan merasa bersalah menolak ajakan Sakinah. Memang niatnya tidak mahu menurut ajakan Sakinah lalu dia memberi alasan sibuk. Sebenarnya, dia telah berjanji dengan Faris untuk makan bersama di bistro.


Jumaat, Eliana ke kuliah seperti biasa. Akan tetapi hatinya masih berasa bersalah kepada Sakinah yang datang ke biliknya 2 hari yang lalu. Apa salahnya aku ikut dia, malam ni je. At least, taklah rasa bersalah sangat. Lagipun hari Sabtu boleh jumpa Faris. Getus hatinya. Suara Madam Chia yang mengajar subjek biologi di hadapan dewan kuliah sudah tidak berapa kedengaran. Jarinya leka menaip mesej pesanan ringkas.


Sakinah, El datang surau malam ni-El

Sebaris mesej itu dihantar ke nombor telefon Sakinah yang diperolehinya dari Kem Clik Minda sewaktu sesi ta’aruf.

(^_^)-Sakinah

  Satu imej senyuman terpapar di skrin telefon bimbitnya.   


[credit]


            Malam itu, mereka berkumpul di dalam satu bulatan. Tidak ramai. Hanya ada 5 orang, masing-masing pelajar kolej tersebut Sakinah, Auni, Diana dan Aisyah bukan orang asing baginya. Mereka sekuliah dengan Eliana. Namun ada seorang perempuan yang tidak dikenali Eliana mengetuai kumpulan itu. Kak Aliya Ilma. Itu namanya sewaktu memperkenalkan dirinya. Kak Aliya  pelajar tahun 3 jurusan Kejuruteraan Mekanikal di sebuah universiti yang berdekatan dengan kolejnya. Semasa usrah, Kak Aliya mengingatkan mereka untuk memurnikan niat kerana Allah. Sama dengan ayat Kak Farah Adiba waktu kem la. Bisik Eliana sambil hatinya berdetik, aku di sini kerana Allah. Kak Aliya memulakan pertemuan pertama mereka dengan pencerahan mengenai cinta Allah. Sejenak, Eliana berasa kerdil.


Betapa selama ini dia merasakan masanya rugi kerana asyik mengingati kekasihnya bukan Kekasih yang sebenar. Tetapi egonya membuatkan Eliana diam sahaja tatkala kak Aliya memberi pencerahan. Baginya, itu adalah ilmu tambahan. Sama seperti yang pernah dipelajarinya dalam pelajaran Pendidikan Islam di sekolah dahulu. Bukan dia menidakkan cara penyampaian kak Aliya yang begitu menyentuh hati, dilihatnya masing-masing menitiskan airmata, namun baginya, penyampaian itu hanya sekadar ‘membuka mata’ sedangkan hatinya belum benar-benar bergetar dengan pengisian itu.


“Kita datang lagi ya minggu depan, waktu yang sama. Tempat nanti Sakinah bagitahu semula, insya-Allah,” 

Sakinah memegang bahunya dan menghadiahkan senyuman manisnya.



 “Er…..” 

Belum sempat Eliana menjawab, bayangan Sakinah telah menghilang di balik kegelapan malam. 



                                                                                                                                    Bersambung…..





Karya
Wardatul Hamra’