“Subhanallah, El, cantiknya tempat
ni!”, Sakinah bertasbih, takjub melihat kebesaran Ilahi. Sudah genap sebulan
Eliana mengikuti usrah yang dipimpin oleh kak Aliya Ilma atau lebih mesra
dengan panggilan kak Aliya. Kini, mereka sedang menghabiskan cuti hujung minggu
mereka di Gunung Lang, Ipoh. Eliana cuma tersenyum melihat wajah takjub
sahabatnya. Matanya leka melihat keindahan taman rekreasi itu. Hujung minggu
begini Gunung Lang agak sesak dengan kedatangan pengunjung yang datang bersama
keluarga mereka. Dari jauh kelihatan kak Aliya melambai-lambai tangan kearah
mereka berdua. Aisyah, Auni dan Diana telah duduk disamping kak Aliya.
“Kita makan dulu ya. Aisyah, baca
doa,” pinta kak Aliya. Berdekatan taman permainan, mereka berenam leka
menikmati juadah mihun goreng tomyam yang dimasak oleh kak Aliya. Tiba-tiba,
“Argh….”, terdengar jeritan kecil Auni, terkejut melihat beberapa ekor monyet
kecil mendekati mereka. “Jangan takut, monyet ni tak liar, ni lah keunikan
Gunung Lang,” kata Diana mententeramkan Auni. Masakan Diana tidak tahu, dia
berasal dari Ipoh dan ini bukan pertama kali dia mengunjungi taman itu. Auni
berhenti makan. Dicuci tangannya dan terus beredar dari situ. Dia bukan takut
kepada monyet tapi dia geli kepada haiwan berbulu kecuali kucing. Seusai makan,
mereka berkumpul bagi memulakan usrah.
Pengisian
dalam usrah kali ini cukup menarik pada Eliana, tentang syukur. “Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah,
nescaya kamu tak dapat menentukan jumlahnya.”(Surah An-Nahl:18). Diam-diam
Eliana memikirkan kembali apa yang berlaku kepada dirinya selama hidupnya. Ya
Allah, sayangnya Engkau padaku. Sudah banyak dosa dan maksiat yang telah aku
buat, tetapi Kau temukan aku dengan sahabat yang menunjukkan aku jalan yang benar.
Ya Allah, ajarkan aku untuk mensyukuri setiap nikmat-Mu. Kata kak Aliya,
setinggi-tinggi syukur adalah apabila kita merasa semua yang ada dalam dunia
ini hanyalah milik Allah.
“Saya geramlah kak Aliya bila orang guna barang saya tapi
tak bagitahu dulu, kadang-kadang barang yang mahal tu, dia ambil macam tu je,”
Auni meluahkan rasa hatinya. “Hmm…biar kak Aliya teka, mesti barang tu Auni
sayang sangat dan Auni marah bila barang tu tiba-tiba hilang. Betul tak?” tanya
kak Aliya. “Iyalah kak, mahal tu saya beli, mana tak sayang,” Auni sudah
mengerutkan wajahnya. “Agak-agaknya kan, kalau setiap sedutan nafas ni bernilai
RM0.05, mahal tak jumlahnya untuk sedutan nafas dalam sehari?” kak Aliya
mengajukan soalan, sengaja mahu menguji anak-anak usrahnya. “Katalah dalam
seminit kita sedut nafas 27 kali dah kena bayar RM1.35. Kalau sehari lebih
kurang 38,880 kita sedut nafas, sama dengan RM1,994. Wah, macam mana nak bayar
tu kak?” Diana yang pintar matematik telah menyelesaikan kiraan mudah itu.
“Mahal kan? Siapa kat sini yang pernah minta kebenaran pada
Allah untuk sedut nafas?” Hening, sepi tanpa jawapan. “Udara ni milik Allah dan
Dia tak pernah marah kepada orang yang gunakan udara tu sekalipun orang itu
kufur pada-Nya,” kak Aliya memberikan pancerahan. “Nikmat Allah ni mahal, sebab
tu kita perlu mensyukurinya. Macam tu juga dengan barang mahal yang kita beli, hakikatnya
ia tetap milik Allah. Bila barang tu hilang atau diambil orang, anggaplah Allah
sudah ambil kembali barang yang dipinjam-Nya,” sambung kak Aliya. Masing-masing
masih mendiamkan diri, mengenang nikmat yang banyak dan menyesali kelemahan
diri. Rasa syukur, hanya boleh dirasai oleh hamba Allah yang sedar akan
nikmat-Nya.
bersambung....
0 comments:
Post a Comment