Uwais Al-Qarni




Dikenali oleh penduduk langit

Uwais merupakan seorang pemuda tampan yang bermata biru dan kulitnya kemerah-merahan. Dagunya hampir dengan dadanya kerana sering melihat ke tempat sujud. Lelaki mulia ini hanya memiliki dua helai pakaian yang sudah lusuh; satu digunakan untuk menutupi badan dan satu lagi digunakan sebagai selendang. Disebabkan kemiskinannya, beliau seringkali dihina, dicaci dan menjadi bahan umpatan oleh penduduk setempat. Tidak sedikit yang menuduhnya sebagai pengemis barang dan pencuri sehinggakan beliau tidak sudi menerima hadiah pemberian pakaian daripada seorang fuqaha dari Kuffah kerana enggan dikatakan pencuri.


Mengenal Uwais Al Qarni

Beliau Uwais Al Qarni, memiliki nama kuniyah Abu ‘Amr, nama beliau Uwais bin ‘Amir bin Juz’in bin Malik Al Qarni Al Muradi Al Yamani. Beliau termasuk tabi’in senior, wali yang shalih, hidup pada zaman Nabi s.a.w dalam kondisi beliau masuk Islam, namun belum pernah berjumpa dengan Nabi.  Beliau terhalangi dari melakukan perjalanan ke Madinah, kerana baktinya kepada ibu beliau (Hilyatul ‘Auliya 2/87), sehingga beliau tidak dikategorikan sebagai shahabat (karena tidak bertemu dengan Nabi), namun tabi’in. Beliau lahir dan besar di Yaman. Adz Dzahabi berkata mengenai beliau, “Seorang teladan yang zuhud, penghulu para tabi’in di zamannya, termasuk diantara wali-wali Allah yang shalih lagi bertaqwa, dan hamba-hambanya yang ikhlas” (Siyar A’lam An Nubala’ 4/19)

Kisah Uwais al Qarni

Kala sendirian, Uwais sangat fokus terhadap ibadahnya. Tatkala petang menjelang, Uwais al Qarni akan berkata, “ Malam ini adalah malam ruku’ ku. Maka beliau pun ruku’ sehingga tiba waktu Subuh. Manakala pada malam yang lain pula, beliau  berkata “Malam ini merupakan malam sujudku. Maka sujudlah beliau hingga ke Subuh. Meskipun miskin, beliau akan tetap menyedekahkan makanan dan pakaian kepada yang lebih memerlukan.

Uwais mentalak dunia dengan talak tiga yang tidak mungkin dirujuk kembali. Sampaikan kezuhudannya itu menyebabkan beliau tidak merasa segan mengambil makanan dari tempat sampah lalu membasuhnya. Sebahagian dimakan, sebahagian yang lain disedekahkannya.

Ketika Islam datang ke negeri Yaman, banyak tetangganya yang berpergian ke Madinah untuk bertemu Rasulullah s.a.w dan mendengarkan ajaran Islam secara langsung dari Baginda. Kerinduan dan kesedihan Uwais memuncak apabila sekembalinya tetangganya dari Madinah, mereka terus memperbaharui kehidupan mereka dengan berlandaskan syariat Islam. Ketika perang Uhud meletus, Rasulullah s.a.w cedera dan gigi baginda patah kerana dilempari batu oleh musuh. Khabar ini sampai ke pengetahuan Uwais. Atas rasa cinta yang begitu dalam dan agung, Uwais segera memukul giginya dengan batu sehingga patah. Allahuakbar. Begitulah tahap kecintaan Uwais terhadap Rasulullah s.a.w yang belum pernah ditatapnya.

Kecintaan yang kuat menyebabkan beliau membuat keputusan untuk bertemu dengan Rasulullah s.a.w dengan meminta izin kepada ibunya untuk pergi Madinah. Perjalanan sejauh 400 kilometer itu dilalui semata-mata ingin bertemu Rasulullah s.a.w. Tatkala tiba di Madinah, beliau lantas mencari rumah Rasulullah, dan mengetuk pintu rumah tersebut. Namun yang muncul adalah Saidatina Aishah r.a . Remuk redam hati Uwais tatkala dikhabarkan bahawa Rasulullah s.a.w tidak ada kerana pergi berperang. Dengan penuh rasa serba salah dan perasaan yang bercampur baur, beliau berkata kepada Saidatina Aishah RA, “titipkan salamku buat Rasulullah s.a.w wahai Saidatina Aishah RA”Uwais terus melangkah berat dengan hati yang pilu. Saat Rasulullah s.a.w pulang, Baginda terus bertanyakan kepada Saidatina Aishah mengenai kedatangan orang yang mencarinya.

“Adakah kalian tahu siapakah gerangan orang yang mencariku itu?” “Tidakya Rasulullah”, balas para sahabat. “Ketahuilah sesungguhnyadia itu adalah penghuni langit dan sangat terkenal di langit. Sebaik-baik tabi’in adalah Uwais.”

Para sahabat terpegun mendengar penjelasan Baginda. Rasulullah s.a.w lantas bersabda, “Kalau kalian ingin berjumpa dengannya, perhatikanlah bahawa dia mempunyai tanda putih di tengah-tengah tapak tangannya.” Baginda mengatakan kepada Saidina Umar dan Saidina Ali agar memohon doa serta istighfarnya jika bertemu dengan lelaki penghuni langit ini. Saban waktu berlalu hinggalah tiba kewafatan Rasulullah s.a.w dan tiba pada pemerintahan Saidina Umar.Beliau teringat akan pesanan Rasulullah s.a.w lalu lantas mengajak Saidina Ali untuk menjejaki lelaki yang membuat mereka terpegun cemburu. Sejak itu, setiap kali kafilah dan rombongan dari Yaman datang, mereka pasti akan menanyakan akan keberadaan Uwais pada mereka sehinggakan ada di antara kafilah-kafilah itu hairan kerana Amirul Mukminin begitu beria ingin berjumpa dengan Uwais sedangkan siapalah Uwais di mata mereka. Hanya sekadar pengembala, miskin, sering diejek, tidak dipedulikan dan mempunyai ibu yang buta.

Suatu ketika, Uwais al Qarni mengikuti rombongan haji dan tiba di Madinah. Saidina Umar dan Saidina Ali ingin sekali bertemu dengan Uwais. Tatkala bertemu, mereka saling bersalaman dan Saidina Umar lantas membalikkan tangan Uwais dan mendapati ada tanda putih di telapak tangannya. Tidak tergambar kegembiraan kedua-dua sahabat ini apabila bertemu dengan lelaki yang begitu terkenal di langit.

“Siapakah namamu?” tanya mereka berdua. “Namaku Abdullah,” jawab Uwais. Kedua-dua sahabatNabi ini tertawa dan mengatakan bahawa mereka juga bernama Abdullah, yakni hamba Allah. “Katakan nama sebenarmu wahai saudara!” tukas sahabat berdua.

“Namaku Uwais al Qarni,” sahut Uwais.

Saidina Umar dan Saidina Ali lalu memohon doa dan istighfar daripada beliau seperti yang dipesan oleh Rasulullah s.a.w dahulu. Meskipun enggan kerana merasakan tidak layak, beliau akhirnya menadah tangan dan memohon doa buat mereka berdua. Selanjutnya Saidina Umar RA bertanya kepadanya mengenai ke mana arah tujuannya setelah musim haji. Dia menjawab, “Kuffah.”Saidina Umar RA berkata, “Mahukah aku tuliskan surat supaya gabenor Kuffah melayanimu?”

Uwais berkata, “Saya bersumpah kepada kamu wahai Amirul Mukminin agar engkau tidak melakukannya. Biarkanlah saya berjalan di tengah lalu lalang banyak orang tanpa dipedulikan orang.” Sejak peristiwa itu, Uwais tenggelam dan hilang khabar berita kerana beliau tidak ingin dikenali orang.

Setelah sekian lama, tersebarlah berita bahawa Uwais telah kembali ke rahmatullah. Pemergiannya membangkitkan pelbagai peristiwa aneh dan menggemparkan penduduk setempat. Tatkala saat kematiannya, begitu banyak manusia yang tidak dikenali hadir untuk menguruskan jenazah dan urusan pengebumiannya sedangkan beliau adalah seorang yang fakir. Saat dia dimandikan sehinggalah dikebumikan, pasti sahaja akan ada orang yang sudah siap melaksanakannya terlebih dahulu. Peristiwa ini membuatkan penduduk Yaman tercengang.

“ Siapakah sebenarnya Uwais al Qarni? Mengapa begitu banyak sekali manusia yang tidak kami kenali datang ketika kematiannya? Sedangkan beliau hanyalah seorang fakir yang langsung tidak memiliki apa-apa bahkan hanyalah seorang pengembala kambing?”

Sesungguhnya, manusia-manusia yang datang menguruskan pengebumian Uwais adalah para malaikat.

Saat itu ketahuilah oleh penduduk Yaman, manusia yang sering mereka keji dan menjadi bahan umpatan itu menduduki tempat istimewa di sisi Allah. Beliaulah Uwais al Qarni, tidak terkenal di bumi, tetapi sangat terkenal di langit.  


Sumber:
Hiburan Orang-orang Shalih, 101 Kisah Segar, Nyata dan Penuh Hikmah, Pustaka   
Arafah Cetakan 1





disediakan oleh:

Nurul Nadiah binti Ishak
Biro Latihan dan pembangunan Ahli
Persatuan Belia Islam Nasional(PEMBINA) Kuala Terengganu