“Subhanallah, El, cantiknya tempat ni!”, Sakinah bertasbih, takjub melihat kebesaran Ilahi. Sudah genap sebulan Eliana mengikuti usrah yang dipimpin oleh kak Aliya Ilma atau lebih mesra dengan panggilan kak Aliya. Kini, mereka sedang menghabiskan cuti hujung minggu mereka di Gunung Lang, Ipoh. Eliana cuma tersenyum melihat wajah takjub sahabatnya. Matanya leka melihat keindahan taman rekreasi itu. Hujung minggu begini Gunung Lang agak sesak dengan kedatangan pengunjung yang datang bersama keluarga mereka. Dari jauh kelihatan kak Aliya melambai-lambai tangan kearah mereka berdua. Aisyah, Auni dan Diana telah duduk disamping kak Aliya.
“Kita makan dulu ya. Aisyah, baca doa,” pinta kak Aliya. Berdekatan taman permainan, mereka berenam leka menikmati juadah mihun goreng tomyam yang dimasak oleh kak Aliya. Tiba-tiba, “Argh….”, terdengar jeritan kecil Auni, terkejut melihat beberapa ekor monyet kecil mendekati mereka. “Jangan takut, monyet ni tak liar, ni lah keunikan Gunung Lang,” kata Diana mententeramkan Auni. Masakan Diana tidak tahu, dia berasal dari Ipoh dan ini bukan pertama kali dia mengunjungi taman itu. Auni berhenti makan. Dicuci tangannya dan terus beredar dari situ. Dia bukan takut kepada monyet tapi dia geli kepada haiwan berbulu kecuali kucing. Seusai makan, mereka berkumpul bagi memulakan usrah.
Pengisian dalam usrah kali ini cukup menarik pada Eliana, tentang syukur. “Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, nescaya kamu tak dapat menentukan jumlahnya.”(Surah An-Nahl:18). Diam-diam Eliana memikirkan kembali apa yang berlaku kepada dirinya selama hidupnya. Ya Allah, sayangnya Engkau padaku. Sudah banyak dosa dan maksiat yang telah aku buat, tetapi Kau temukan aku dengan sahabat yang menunjukkan aku jalan yang benar. Ya Allah, ajarkan aku untuk mensyukuri setiap nikmat-Mu. Kata kak Aliya, setinggi-tinggi syukur adalah apabila kita merasa semua yang ada dalam dunia ini hanyalah milik Allah.
“Saya geramlah kak Aliya bila orang guna barang saya tapi tak bagitahu dulu, kadang-kadang barang yang mahal tu, dia ambil macam tu je,” Auni meluahkan rasa hatinya. “Hmm…biar kak Aliya teka, mesti barang tu Auni sayang sangat dan Auni marah bila barang tu tiba-tiba hilang. Betul tak?” tanya kak Aliya. “Iyalah kak, mahal tu saya beli, mana tak sayang,” Auni sudah mengerutkan wajahnya. “Agak-agaknya kan, kalau setiap sedutan nafas ni bernilai RM0.05, mahal tak jumlahnya untuk sedutan nafas dalam sehari?” kak Aliya mengajukan soalan, sengaja mahu menguji anak-anak usrahnya. “Katalah dalam seminit kita sedut nafas 27 kali dah kena bayar RM1.35. Kalau sehari lebih kurang 38,880 kita sedut nafas, sama dengan RM1,994. Wah, macam mana nak bayar tu kak?” Diana yang pintar matematik telah menyelesaikan kiraan mudah itu.
“Mahal kan? Siapa kat sini yang pernah minta kebenaran pada Allah untuk sedut nafas?” Hening, sepi tanpa jawapan. “Udara ni milik Allah dan Dia tak pernah marah kepada orang yang gunakan udara tu sekalipun orang itu kufur pada-Nya,” kak Aliya memberikan pancerahan. “Nikmat Allah ni mahal, sebab tu kita perlu mensyukurinya. Macam tu juga dengan barang mahal yang kita beli, hakikatnya ia tetap milik Allah. Bila barang tu hilang atau diambil orang, anggaplah Allah sudah ambil kembali barang yang dipinjam-Nya,” sambung kak Aliya. Masing-masing masih mendiamkan diri, mengenang nikmat yang banyak dan menyesali kelemahan diri. Rasa syukur, hanya boleh dirasai oleh hamba Allah yang sedar akan nikmat-Nya.
Bersambung...
Bersambung...
0 comments:
Post a Comment