Guru-guru SMK Chukai Hargai Misi Bantuan Banjir



KEMAMAN, 3 Jan - “Terima kasih kerana dibukakan pintu hati untuk datang membantu membersihkan sekolah ini, dengan adanya bantuan tenaga kesukarelawan, kerja-kerja membersih lebih cepat," ujar Cikgu Wan Naaimah binti Wan Zainal Abidin, guru kanan VOTEK merangkap ketua warden asrama SMK Chukai.

Kehadiran para sukarelawan ke SMK Chukai meringankan lagi beban para guru untuk membersihkan keseluruhan bangunan sekolah dan asrama yang terjejas akibat banjir baru-baru ini. Mereka juga tidak dapat mengharapkan sepenuhnya bantuan tenaga daripada pelajar-pelajar dan guru-guru dari SMK Chukai untuk membersihkan sekolah kerana kediaman mereka juga terlibat dalam bencana ini.

“Saya rasa amat bersyukur kerana ada pihak yang bersimpati pada kami dan sanggup datang untuk membantu kami di sini," kata Cikgu Noorizan binti Din, guru kanan Sains Matematik SMK Chukai ketika ditemu-ramah.

Selain itu, para sukarelawan yang terdiri daripada pelajar-pelajar IPT Kuala Terengganu juga rasa bertuah kerana dapat menyertai Misi Bantuan Banjir ini.

“Saya rasa bersyukur kerana terpilih menyertai misi bantuan banjir dan turut sama merasai perasaan para penduduk yang mengalami musibah ini”, ujar Nabila, salah seorang seorang sukarelawan yang juga merupakan pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Misi bantuan ini bukan hanya sekadar membantu melakukan kerja-kerja pembersihan namun secara tidak langsung dapat merapatkan ukhwah serta menjalinkan hubungan dengan penduduk sekitar dan warga sekolah SMK Chukai.