BERITA: Amal jamai' teras kekuatan amal da'wi



KUALA TERENGGANU, 14 Feb 2015 -“Bekerja dalam kumpulan adalah suatu asas atau tapak yang kukuh bagi kekuatan dakwah di Kuala Terengganu ini”, demikian ujar Pengerusi Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) cawangan Kuala Terengganu, Mohamad Azran Faris bin Mohamad Azemi dalam ucapan dasar beliau bersempena Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan (MATC) PEMBINA hari ini.

Ucapan beliau itu mengulas slogan yang telah dipilih dalam MATC kali ke-2 ini iaitu ‘amal jamai’ teras kekuatan amal da’wi’. Menurut beliau lagi, perjalanan dakwah ini memerlukan nafas yang panjang. Justeru, pembinaan organisasi dan pelapis adalah penting bagi sesebuah amal dakwah untuk  memastikan kelangsungan perjuangan itu.

Hal ini dapat dilihat melalui sejarah perkembangan PEMBINA Kuala Terengganu yang mula bertapak sejak tahun 2009. Selain itu, berdasarkan statistik keahlian tiga tahun kebelakangan ini jelas menunjukkan peningkatan bilangan ahli PEMBINA di Kuala Terengganu berikutan kesan postif strategi baru yang telah dilaksanakan dengan baik oleh PEMBINA di sini.

Mesyuarat yang diadakan di Pejabat ISMA Kuala Terengganu dihadiri oleh Jawantankuasa PEMBINA cawangan Kuala Terengganu, Ahli Pimpinan PEMBINA Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu turut membuat perlantikan jawatankuasa baru bagi sesi 2015/2016. Semoga dengan perlantikan jawatankuasa pada tahun ini dapat memperkasakan amal da’wi dan gerak kerja PEMBINA Kuala Terengganu melalui amal jamai’ yang dipraktikkan.