[Credit to] |
Prolog
Seusaiku menutup
mushaf al-Quran, terdengar anak kecilku menangis. Ku bergegas meluru
merangkulnya dengan penuh kasih. Anakku terbuai dalam lenanya kembali. Ku
renung wajah anakku, satu wajah yang amat menenangkan jiwa terpamer dari insan
kecil yang tiada dosa ini.
Fikiranku
terbang mengenang nasib insan-insan sebaya anakku yang tidak cukup setahun
mengenal dunia ini yang dibuang di dalam tong sampah, lubang tandas, di sungai
dan lain-lain. Dibiarkan anak itu dalam kesejukan, digigit oleh semut api,
kelaparan dan macam-macam lagi.
Bagaimanakah nasib mereka? Sedangkan yang layak untuk anak kecil seperti
adalah dibelai dan dimanja penuh kasih sayang, diulitkan dengan alunan dodoian suara
merdu ibunya hingga anak kecil ini lena dalam keselesaan. Tetapi oleh sebab
taraf anak ini menjadi satu penghinaan buat sang ibu, anak ini dibuang hidup-hidup
tanpa perikemanusiaan!
Jangan hampiri zina!
Statistik pembuangan bayi dari tahun 2004 hingga 2010 |
Dari mana anak
ini lahir? Apakah punca utamanya terjadi dosa ini?
Ya, dari hasil
perzinaan pasangan yang tidak mempunyai jiwa yang tersentap dengan peringatan
Allah swt! Masakan ada anak yang sahtaraf dibuang secara hidup-hidup sebegini!
Mereka lupa
dengan firman Allah SWT ini ,
“Janganlah kamu
menghampiri zina, sesungguhnya ia adalah keji dan seburuk-buruk jalan.” (Surah
al-Isra’: 32).
Ayat “laa taqrabu” bermaksud jangan mendekati
menegaskan bahawa amat perlu kita menjauhi jalan-jalan menuju ke arah zina.
Benar!
Jalan-jalan menuju kepada zina itu bahaya! Yang ‘ringan-ringan’ itu bakal
membawa bahana!
Yang dianggap
kecil dan remeh itu sebenarnya parah!
Sudah tentu
semua takut diserang penyakit Leptospirosis
atau ‘Kencing tikus’? Tikus adalah binatang yang kecil, tapi dapat menyebarkan
satu virus penyakit yang menyebabkan seseorang itu mempunyai harapan tipis
untuk hidup. Pasti, langkah untuk mencegahnya adalah kita akan memastikan rumah
kita bersih dan membeli racun tikus untuk mengelakkan tikus ini membiak.
Bukankah ia dari
benda yang kecil?
Sama juga dengan
penyakit Denggi, Malaria dan Japanese
encephalitis, Ia berpunca dari nyamuk yang halus, kecil sahaja. Tetapi
membawa penyakit yang parah.
Itulah
perbandingan yang dibuat. Tidak ramai orang meninggal disebabkan dibaham
harimau, singa atau dilenyek oleh gajah. Tetapi, banyak penyakit yang berpunca
dengan perkara yang dianggap kecil ini.
Zina itu
penyakit yang amat parah, maka jangan dekati jalan-jalannya!
Jalan-jalan Zina
Haish.. zina pun
ada jalan-jalannya?
Ya, jalan-jalan
zina ini jangan sesekali didekati. Perlu
kita menjauhinya!
Ia bermula
dengan ikhtilat ( percampuran lelaki dan perempuan yang bukan mahram).
Bermula dengan
pandang-pandang, berbalas senyuman, dan akhirnya ber’whatsapps’.
Hubungan ini
menjadi rapat, dan mereka ber’couple’. Akhirnya timbul rasa cinta dan rindu
untuk bertemu. Syaitan akan terus membisikkan untuk melakukan kejahatan kepada
pasangan ini sehingga mereka terjebak dengan zina.
“Sis,
saya bercouple, tapi bila kami dating
di khalayak ramai, kami berchatting
bincang tentang agama”.
Ungkapan ini
selalu didengari dari pasangan yang menyatakan bahawa mereka bercouple Islamic.
Masih teringat
satu analogi yang dibuat seorang pendakwah yang dikagumi kata-katanya suatu
ketika dulu (moga Allah sentiasa merahmatinya):
“Entum jangan main-main dengan isu couple. Couple tetap haram. Bagaimana khinzir yang kita tahu haram dimakan.
Suatu hari, khinzir ini kita islamkan dia dengan mandikan dia, suruh dia solat,
kita mengaji dekat dia, adakah khinzir ini halal dimakan selepas itu?”
Analogi ini amat
menyentap jiwa. Jadi pemuda pemudi di sana, jangan terfitnah dengan dosa ini.
Orang yang
menjaga kehormatan diri adalah menjaga dirinya sedaya upaya agar tidak terlibat
dengan dosa.
Zina ada beberapa cabang, seperti zina mata, zina lisan, dan zina anggota badan.
Disebutkan dalam
hadits Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw. bersabda,
“Allah telah menetapkan atas setiap Bani Adam
bahagiannya dari zina yang tidak bisa tidak pasti ia mendapatinya. Zina mata
adalah melihat, zina lisan adalah berbicara, hati berangan-angan serta bernafsu
dan kemaluan membenarkan atau mendustakannya.”
Wahai pemuda
ingatlah kita yang akan disoal pada hari akhirat kelak.
Azab yang dijanjikan Allah s.w.t. bagi yang berzina
Banyak hadis
dari Rasulullah s.a.w menceritakan azab yang menimpa kepada orang yang berzina.
Antaranya:
“Dua kejahatan
akan dibalas oleh Allah ketika di dunia: zina dan derhaka kepada ibu bapa”(H.R.
Thabrani)
Hukuman yang
diterima oleh penzina dibalas di dunia dan di akhirat. Allahu akbar!
Antara hadis yang
lain:
Sabda Rasulullah
s.a.w:
“Wahai kaum
Muslimin! Jauhilah perbuatan zina kerana padanya ada 6 macam bahaya, tiga di
dunia, tiga di akhirat.
Adapun bahaya
yang akan menimpa di dunia ialah:
1. Lenyapnya
cahaya dari mukanya
2. Memendekkan
umur
3. Mengekalkan
kemiskinan
Adapun bahaya
yang bakal menimpa di akhirat kelak ialah:
1. Kemurkaan
dari Allah s.w.t
2. Hisab
(perhitungan yang buruk)
3. Seksaan di
neraka
(H.R. Baihaqi)
Nauzubillah!
Zina itu parah dan barah kepada ummah! Ayuh kita menjauhinya, elakkan diri dari
terfitnah dengan bisikan pujuk syaitan untuk mendekatinya.
Orang yang mulia tidak mendekati zina. Orang yang berjaya
sedaya-upaya menjauhi dirinya dari zina. Hamba yang disayangi Allah akan
membenci jalan-jalan menuju kepada zina.
Ku renung lagi
wajah anakku yang mulus ini. Ku fikirkan masa depannya pula. Bagaimanakah
keadaan zamannya kelak jika keadaan sekarang budaya zina menjadi-jadi?
Ku memohon dari
Ilahi agar dijauhkan zuriat keturunanku daripada terjebak dengan zina dan
penzina.
Jom sama-sama
selamatkan umat ini daripada terjebak dengan zina! Jauhilah zina!
Biodata penulis.
Nama : Halimaton Solehah Mohamed
Jawatan : Ketua Beliawanis PEMBINA Kuala Terengganu
Status : Sudah berkahwin & mempunyai seorang anak.
Asal : Dungun, Terengganu
Pendidikan : KISAS, UMT (Sarjana Muda Sains Makanan (Teknologi Makanan)
Pekerjaan : Surirumah
Biodata penulis.
Nama : Halimaton Solehah Mohamed
Jawatan : Ketua Beliawanis PEMBINA Kuala Terengganu
Status : Sudah berkahwin & mempunyai seorang anak.
Asal : Dungun, Terengganu
Pendidikan : KISAS, UMT (Sarjana Muda Sains Makanan (Teknologi Makanan)
Pekerjaan : Surirumah
0 comments:
Post a Comment